Sunday 18 March 2012

Tamadun Islam dan Tamadun Asia

PENGENALAN
Perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab, iaitu daripada perkataan mudun dan madain. Satu lagi perkataan Arab yang mempunyai kaitan dengan perkataan tamadun ialah madana yang mempunyai dua maksud, iaitu tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Perkataan daripada bahasa Inggeris yang mempunyai persamaan makna dengan tamadun ialah civilization yang berasal daripada bahasa Greek, iaitu civitas yang bermaksud bandar. Tamadun juga boleh diertikan sebagai peradaban.

Setiap masyarakat di dunia mempunyai definisi yang tersendiri tentang konsep tamadun. Bagi masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan pembandaran. Menurut pandangan beberapa sarjana Barat, misalnya, Gordon Childe, pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah masyarakat.Darcy Riberio dan R.A. Buchanan pula menolak unsur rohaniah sebaliknya hanya menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan tamadun.

Menurut Islam, tamadun mestilah merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Oleh itu, Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah. Kedua-dua unsur ini penting untuk mengukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat. Mengikut pandangan Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat. Pandangan sarjana Islam ini turut disokong oleh sarjana Barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.

Secara umumnya, konsep tamadun tidak hanya mementingkan pencapaian berbentuk lahiriah seperti kesenian dan pembinaan kota semata-mata tetapi juga mestilah diiringi dengan pencapaian dalam aspek rohaniah, tatasusila dan moral.

  
CIRI-CIRI TAMADUN
Usaha manusia untuk menyesuaikan kehidupan mereka dengan alam sekeliling telah menjadikan manusia lebih kreatif dan inovatif. Kreativiti dan inovasi manusia bergantung kepada pencapaian pemikiran dan kekuatan rohaniah mereka. Oleh itu, proses pembentukan tamadun merupakan manifestasi kepada pencapaian manusia dalam kedua-dua aspek ini.
 

Kewujudan petempatan kekal merupakan salah satu ciri utama kemunculan tamadun. Kehidupan secara menetap membawa kepada corak hidup yang lebih sistematik.

Peningkatan jumlah penduduk membawa kepada sebuah kehidupan berorganisasi yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik. Kehidupan secara berorganisasi ini mampu mengatur cara hidup manusia untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran kehidupan mereka.

Bagi mengendalikan masyarakat yang lebih besar, sistem pemerintahan mula dibentuk untuk menjalankan pentadbiran. Kewujudan sistem pemerintahan membawa kepada kelahiran sistem perundangan yang menjadi panduan kepada masyarakat demi menjaga keamanan dan kemakmuran sesebuah tamadun.

Pembentukan organisasi sosial dan politik membawa kepada pengkhususan pekerjaan dalam tamadun awal. Peningkatan dalam produktiviti manusia menyebabkan pengkhususan pekerjaan menjadi lebih penting.

Agama dan kepercayaan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan tamadun. Ini adalah kerana kedua-duanya amat berkait dengan pengiktirafan terhadap golongan pemerintah, pembahagian sosial masyarakat, perkembangan ilmu pengetahuan, kesenian dan pembinaan dalam proses pembentukan tamadun awal.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...